IMG-LOGO

SAHABAT R.A. : Antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah Dan Syiah

Di antara perbezaan asas antara Syiah dan Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah kepercayaan berkenaan sahabat-sahabat Nabi s.a.w.. Perbezaan pendapat antara kedua aliran ini sama sekali tidak dapat berhimpun kerana ia adalah punca pertelingkahan dan perbalahan. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan perbezaan tersebut maka kitab rujukan utama kedua pihak menjadi asas kepada perbincangan ini.

Pandangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah Terhadap Sahabat-Sahabat r.a..

Sebelum mengemukakan pandangan Ahlus Sunnah terhadap sahabat-sahabat r.a. berdasarkan hadith-hadith rasul dan al-Quran sangat perlu sekali untuk mengenali siapakah yang dikatakan sebagai sahabat-sahabat Nabi s.a.w. itu.

Ta’rif Sahabat: Ulama berselisih pendapat berkenaan ta’rif sahabat. Di antara ulama yang membincangkan dengan panjang lebar berkenaan perselisihan tersebut ialah Hafidz Ibnu Hajar di dalam kitabnya al-Isabah. Di antara beberapa pendapat tersebut, pendapat yang disepakati adalah seperti berikut:

أن الصحابي من لقى النبي صلى الله عليه وسلم مؤمنا به ومات على الاسلام ". فيدخل فيه من لقيه من المسلمين ممن طالت مجالسته أو قصرت، روى عنه أو لم يرو، غزا معه إو لم يغز، من رآه رؤية ولو لم يجالسه، ومن لم يره لعارض كالعمى. ويدخل في هذا العموم الاطفال الذين ولدوا في عهد النبي صلى الله عليه وسلم ورأوه في حال الطفولة

Sesungguhnya sahabat adalah orang yang bertemu dengan Nabi s.a.w. dalam keadaan beriman dan mati di atas Islam. Termasuk di dalamnya ialah yang bertemu Baginda dari kalangan orang-orang Islam sama ada lama tinggal bersamanya atau seketika, meriwayatkan hadith daripadanya atau tidak, berperang bersamanya atau tidak, melihatnya walaupun sekali dan tidak pernah bersamanya dan tidak pernah melihatnya kerana sesuatu sebab seperti buta. Termasuk di dalam ta’rif umum ini ialah kanak-kanak yang dilahirkan di zaman Nabi s.a.w. dan melihatnya ketika masih kecil lagi.

Setengah ulama memasukkan di dalam ta’rif tersebut ‘walaupun diselangi dengan murtad ditengah-tengahnya dan ia kembali semula kepada Islam sama ada bertemu pula dengan Nabi s.a.w. atau tidak 1.

Keutamaan Sahabat Berdasarkan Al-Quran

Ayat-ayat al-Quran yang menyebutkan kelebihan sahabat-sahabat r.a. terlalu banyak untuk dikemukakan kesemuanya. Sebahagiannya akan dikemukakan di bawah ini.

Pertama: golongan sahabat yang telah memberikan pengorbanan sebelum pembukaan kota Makkah oleh Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya diberikan kedudukan yang sangat tinggi berbanding dengan yang selepasnya. Ini adalah disebabkan pengorbanan pada ketika itu sangat diperlukan dan umat Islam berhadapan dengan cabaran yang sangat besar daripada musuh-musuh. Walaubagaimanapun kedua-dua golongan sahabat tersebut dikurniakan ganjaran besar iaitu al-Husna. Ulama-ulama mentafsirkannya sebagai ganjaran yang besar dan syurga 2.

لَا يَسْتَوِي مِنْكُمْ مَنْ أَنْفَقَ مِنْ قَبْلِ الْفَتْحِ وَقَاتَلَ أُولَئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِنَ الَّذِينَ أَنْفَقُوا مِنْ بَعْدُ وَقَاتَلُوا وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Mekah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu kerjakan 3.

IMG IMG

Kedua: janji Allah ta’ala kepada golongan sahabat dari kalangan Muhajirin dan Ansar bahawa syurga disediakan untuk mereka. Bukan hanya mereka yang akan memperolehi ganjaran besar tersebut bahkan orang-orang yang mengikuti mereka juga. Firman-Nya:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar" dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar 4.

Ketiga: يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ حَسْبُكَ اللَّهُ وَمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman 5.

Keempat: keredhaan Allah terhadap seramai lebih dari seribu empat ratus orang sahabat yang berbai’ah dengan Nabi s.a.w. di bawah pokok yang dipanggil bai’ah ar-redhuan.

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya 6

Kelima: golongan sahabat adalah merupakan golongan pertama yang ditujukan oleh Allah ta’ala sebagai golongan sebaik-baik umat di dalam firman-Nya yang berbunyi:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آَمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik 7.

IMG IMG
1 2 3