IMG-LOGO

Disebalik Tragedi 10 Muharam

Apabila tiba 10 muharram, umat Islam sering dihidangkan dengan kisah kekejaman salah seorang khalifah Islam yang terdiri dari kalangan khalifah Bani Umaiyah iaitu Khalifah Yazid bin Mu'awiyah r.a. dan turut dihidangkan sama kisah-kisah penderitaan anak cucu Nabi Muhammad s.a.w. terutamanya Sayyidina Husain r.a. yang kononnya menjadi mangsa kekejaman Yazid.

Namun begitu sejauhmanakah kebenaran kisah-kisah tersebut ataupun ianya tidak lebih dari cerita-cerita penglipurlara golongan yang memusuhi sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa ini jugalah yang menyebabkan umat Islam dengan mudah menelan segala cerita khayalan dan fantasi mengenai kejahatan serta kebejatan khalifah Yazid yang diada-adakan oleh musuh-musuh Islam dengan maksud untuk memadamkan kegemilangan sejarah pemerintahan serta tamaddun Islam.

Kalau dilihat sejenak kepada kitab-kitab sejarah maka akan ditemui banyak percanggahan berkenaan peristiwa tersebut. Di dalam sesetengah kitab terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa golongan yang bertanggungjawab membunuh Sayyidina Husain r.a. ialah tentera Yazid namun di dalam kitab yang sama tetapi di tempat yang lain pula disebutkan Syi'ah Iraqlah (Kufah) yang bertanggungjawab dalam peristiwa tersebut. Dan kalaulah diperhatikan kepada semua riwayat yang memuatkan cerita-cerita tersebut baik yang khusus berkenaan pembunuhan Sayyidina Husain r.a. di tangan Yazid serta kisah kejahatan dan amalan buruk Yazid ianya tidak lebih daripada rekaan golongan yang ditolak periwayatan mereka oleh ulama-ulama ilmu rijal (ilmu untuk menilai pewarta).

Antara cerita daripada perawi-perawi tersebut ialah apa yang dikemukakan oleh Imam Thabari dan Imam Ibnu Kathir daripada Abu Mikhnaf Lut bin Yahya 1, Al-Baladzuri daripada Al-Waqidi 2. Begitu juga Ibnu Sa'ad di dalam Tabaqat, Ibnu 'Asakir di dalam Dalaail an-Nubuwwah, Khalifah bin Khayyat di dalam tarikhnya, al-Mas'udi di dalam Muruuj az-Zahab dan al-Ya'kubi di dalam Tarikh Ya'kubi. Kalau diperhatikan kepada semua riwayat berkenaan Khalifah Yazid ianya berpunca daripada mereka berdua serta Muhammad bin Zakaria Al-Ghallabi, Umar bin Syabbah dan Muhammad bin As-Saib Al-Kalbi bahkan boleh dikatakan 90 peratus peristiwa Karbala ini berpunca daripada Abu Mikhnaf.

Lalu jika diteliti siapakah mereka itu maka akan didapati mereka adalah golongan yang ditolak periwayatannya oleh ulamak-ulamak muktabar. Antaranya ialah Muhammad bin Umar yang lebih dikenali dengan gelaran Al-Waqidi. Ibnu Hajar menyebutkan dalam "Lisanul Mizan" dengan katanya, "Seorang yang ditinggalkan periwayatannya walaupun luas ilmunya" 3. Ibnu Ma'in berkata, "Seorang yang tidak ada nilainya" 4. Abu Hatim, Nasaie berkata, "Riwayatnya ditolak" dan Imam Abu Zur'ah berkata, "Seorang yang lemah riwayatnya" 5.

IMG IMG

Berkenaan dengan Abu Mikhnaf pula Imam Zahabi menyebutkan dalam "Mizan al-I'tidal" bahawa "Beliau seorang yang tidak boleh dipercayai", Abu Hatim dan lain-lain ulama jarh dan ta'dil telah meninggalkannya (tidak menerima riwayatnya). Daaraqutni berkata, "Dia seorang yang lemah". Ibnu Ma'in berkata, "Dia seorang yang tidak boleh dipercayai". Murrah berkata, "Dia seorang yang tidak bernilai", dan Ibnu 'Adiy berkata, "Dia adalah seorang Syi'ah, pereka cerita "6.

Begitulah juga keadaan perawi-perawi yang lain bagi peristiwa tersebut. Riwayat-riwayat mereka langsung tidak ada nilainya di sisi ulamak-ulamak ilmu rijal. Untuk mengetahui kedudukan mereka boleh dirujuk kitab-kitab rijal seperti Lisanul Mizan, Mizanul I'tidal, Al-jarh Wat-Ta'dil, Adh-Dhu'afaa Ibni 'Adiy, Adh-Dhu'afaa Lin Nasaie dan lain-lain lagi.

Di satu sudut lain pula di dalam kitab-kitab sejarah, catatannya adalah berlainan dari apa yang tersebar dalam masyarakat umat Islam umumnya. Antaranya apa yang dikemukakan oleh Ibnu Kathir bahawasanya bilamana Muhammad bin Ali Al-Hanafiah (anak Ali r.a.) diajak supaya memberontak terhadap Yazid maka beliau berkata, "Sesungguhnya saya telah datang menemuinya dan tinggal bersamanya beberapa lama maka saya dapati ia seorang yang kuat menjaga solat, suka kepada kebaikan, selalu bertanya tentang masalah feqah dan berpegang teguh kepada sunnah7.

IMG IMG

Sejarawan Al-Baladhzuri telah mengemukakan satu riwayat bahawa Amir bin Mas'ud Al-Jumahi berkata,"Ketika saya berada di Makkah, datang seorang membawa berita tentang kematian Mu'awiyah r.a.. Kami pun bangun dan pergi menemui Ibnu Abbas r.a. yang ketika itu juga berada di Makkah, di samping beliau ada beberapa orang sedang duduk. Hamparan hidangan sudahpun dibuka tetapi makanan belum lagi dihidangkan pada ketika itu. Maka kamipun berkata kepadanya, "Hai Ibnu Abbas! Utusan datang membawa berita kematian Mu'awiyah. Mendengar berita itu beliau terdiam beberapa lama. Kemudian beliau pun berkata, "Ya Allah! Perluaskanlah rahmat untuk Mu'awiyah. Demi Allah, bukanlah dia sama seperti orang-orang sebelumnya dan tidaklah pula akan datang sesudahnya orang sepertinya. Sesungguhnya anaknya Yazid adalah salah seorang yang soleh dari ahli keluarganya. Oleh itu hendaklah kamu berada di tempat masing-masing dan serahkan ketaatan dan bai'ah kamu kepadanya"8.

Imam Ali Zainal Abidin walaupun pernah beberapa lama bersama dengan Yazid selepas kesyahidan ayahnya Husain r.a. serta keluarganya di Karbala namun tidak ada satupun riwayat daripada beliau yang menyebutkan bahawa Yazid ada melakukan perkara-perkara buruk seperti minum arak, meninggalkan solat bahkan beliau adalah orang yang memberikan taat setia kepada Yazid sehingga enggan untuk turut sama dalam pemberontakan terhadap Yazid selepas itu9.

Antara sahabat agung yang pernah bersama Yazid adalah Nu'man bin Basyir dan Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib r.a. Mereka berdua juga tidak pernah menyebutkan bahawa Yazid melakukan amalan-amalan maksiat tersebut sebagaimana yang disebarkan oleh orang-orang seperti Abu Mikhnaf.

Kitab-kitab sejarah juga menggambarkan kesetiaan sahabat-sahabat r.a. yang masih hidup kepada kepimpinan Yazid dan keengganan mereka untuk memberontak terhadap Yazid walaupun didorong supaya berbuat demikian bahkan lebih dari itu mereka memberi nasihat pula kepada golongan yang ingin memberontak termasuk kepada Husain r.a. sendiri. Antara mereka adalah Abu Sa'id Al Khudri, Jabir bin Abdullah, Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Abu Waqid Al-Laithi r.a. dan lain-lain lagi10.

1 2 3